Kencing manis merupakan penyakit akibat kelebihan tahap gula (glukosa) di dalam darah. Ia disebabkan oleh metabolisme insulin yang tidak seimbang. Insulin ialah hormon yang mengawal kadar gula darah dalam badan. Jika tidak dirawat, kencing manis boleh merosakkan mata, buah pinggang dan organ-organ dalam badan lain yang penting.
Kencing manis adalah masalah kesihatan yang amat besar di Malaysia. Jumlah orang yang dijejaskan oleh penyakit ini meningkat setiap tahun. Pada tahun 2015, Kementerian Kesihatan Malaysia menganggarkan 1 daripada 6 orang (17.5%) berusia 18 tahun dan ke atas menghidap kencing manis. Kini, Malaysia mempunyai kadar kencing manis dan obesiti yang tertinggi di Asia Tenggara, dengan kedudukan antara yang tertinggi di dunia.
Retinopati diabetes adalah komplikasi kencing manis yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan. Kencing manis merosakkan saluran-saluran darah pada lapisan saraf yang sensitif terhadap cahaya di dalam mata (retina). Apabila saluran darah yang rosak itu bocor, ia akan menyebabkan retina membengkak. Ia juga mampu tersumbat, lalu mengurangkan jumlah oksigen yang boleh memasuki retina. Semakin lama pesakit menghidap kencing manis, semakin tinggi kemungkinan pesakit tersebut untuk menghidap retinopati diabetes.
Retinopati diabetes biasanya menjejaskan kedua-dua belah mata. Ia adalah penyebab umum masalah rabun di kalangan pesakit diabetes dan menjadi punca utama kebutaan di kalangan golongan dewasa.
Terdapat 3 jenis retinopati diabetes:
Merupakan peringkat awal dan tidak parah. Kerosakan saluran darah pada retina muncul sebagai kawasan yang berdarah, bocor dan membengkak. Pada peringkat ini, pesakit biasanya tidak mengalami sebarang masalah penglihatan.
Peringkat ini merupakan tahap yang lebih parah di mana saluran darah baru yang tidak normal dan tisu parut terbentuk di dalam mata. Saluran darah baru ini mudah pecah, menyebabkan pendarahan di dalam mata. Apabila keadaan menjadi semakin parah, pesakit mula mengalami masalah penglihatan. Retina Parut yang kekal terbentuk di retina jika retinopati proliferatif tidak dikesan dan dirawat dengan segera.
Makula adalah sebahagian daripada retina yang amat penting untuk pandangan yang jelas. Apabila retinopati diabetes menjejaskan makula (makulopati diabetes), pesakit akan berasa sukar untuk membaca tulisan kecil dan mengecam wajah.
Kebanyakan pesakit yang menghidap retinopati tidak akan sedar pada awal kerana tiada sebarang gejala yang muncul. Tanda apabila masalah sudah serius:
Retinopati diabetes merosakkan penglihatan melalui cara-cara berikut:
Retinopati diabetes, glaukoma neovaskuler atau kedua-duanya boleh menyebabkan kehilangan penglihatan. Walaupun kehilangan penglihatan biasanya tidak menyakitkan, tetapi pesakit yang menghidap glaukoma neovaskuler akan kerap mengalami masalah keradangan atau sakit mata.
Semakin lama seseorang itu menghidap kencing manis, semakin tinggi risiko untuk menghidapi retinopati diabetes. Walaupun retinopati diabetes tidak boleh dielak sepenuhnya, tetapi anda boleh mengurangkan risiko jika anda:
Pesakit yang berada di tahap awal retinopati diabetes tidak memerlukan rawatan, namun, mereka harus dipantau dengan kerap untuk memastikan jika rawatan diperlukan.
Rawatan diperlukan apabila pesakit mengalami retinopati diabetes lebih parah dan mereka berisiko hilang penglihatan.
Terdapat banyak rawatan yang boleh menghentikan saluran darah daripada bocor; menterbalikkan pertumbuhan saluran-saluran darah baru yang tidak normal dan mengeluarkan darah atau tisu parut di dalam mata.
Ia amat penting untuk mengetahui bahawa kerosakan akibat retinopati diabetes tidak boleh dipulihkan sepenuhnya. Rawatan yang berjaya hanya boleh memperlahan atau mengelakkannya daripada menjadi lebih parah. Pesakit akan mengalami penglihatan kabur yang kekal jika mereka lambat mendapatkan rawatan.
Jika semua rawatan gagal, sebagaimana yang boleh berlaku pada peringkat akhir retinopati diabetes, mata akan menjadi buta. Risiko untuk kehilangan penglihatan boleh dikurangkan sebanyak 95% jika retinopati diabetes dapat dikesan awal atau jika anda mendapat rawatan yang tepat pada masanya.
Pemeriksaan mata kencing manis adalah pemeriksaan retina (lapisan saraf di dalam mata yang sensitif terhadap cahaya).
Ia bukan sekadar ujian untuk menentukan sebaik mana penglihatan anda atau ujian untuk menentukan sama ada anda rabun.
Terdapat dua jenis pemeriksaan mata kencing manis:
1. Ujian saringan dilakukan untuk mengesan retinopati diabetes sebelum pesakit mengalami sebarang masalah dengan penglihatan mereka.
Ujian ini melibatkan penggunaan kamera khas untuk merakam gambar retina. Selain melihat satu pancaran cahaya yang terang, anda tidak akan mengalami sebarang ketidakselesaan. Ujian ini mungkin tidak boleh dilakukan jika anak mata anda terlalu kecil atau tisu mata tidak jelas.
Beberapa pusat rawatan mungkin akan menitiskan ubat mata untuk mengembangkan anak mata sebelum ujian dijalankan. Jika ia dilakukan, anda akan mengalami penglihatan yang kabur selama beberapa jam.
Doktor mata akan memeriksa sejarah perubatan anda dan menjalankan pemeriksaan mata yang terperinci. Pemeriksaan tersebut untuk retinopati diabetes serta penyakit mata lain seperti katarak dan glaukoma.
Rawatan ini mengambil masa yang lebih lama berbanding ujian saringan. Ia biasanya melibatkan proses pengembangan anak mata dengan titisan ubat mata. Anda akan mengalami penglihatan yang kabur selama beberapa jam sehinggalah titisan mata berubat itu hilang. Pada masa yang sama, cermin mata hitam boleh membantu mengurangkan silau. Anda juga mungkin memerlukan seseorang untuk membawa anda pulang ke rumah selepas rawatan ini.
Jika anda berada di Malaysia, terdapat beberapa cara untuk mendapatkan pemeriksaan retina kencing manis:
Cara ini adalah pilihan yang baik jika anda mengalami masalah penglihatan dan perlu berjumpa dengan pakar secepat mungkin. Kunjungan ke klinik swasta biasanya berharga sekurang-kurangnya RM100, bergantung kepada tempat dan ujian yang diperlukan.
Jika anda seorang pesakit kencing manis di sebuah klinik kerajaan, anda boleh mendapatkan ujian saringan dengan fotografi retina setiap tahun di Klinik Kesihatan atau klinik mata kerajaan. Anda akan diberikan temu janji untuk berjumpa dengan doktor mata jika gambar mata anda tidak normal atau tahap penglihatan anda tidak memuaskan.
Jika anda bukan pesakit di klinik kerajaan, anda boleh berjumpa Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan dan meminta untuk pemeriksaan mata kencing manis. Bayaran nominal dikenakan, tetapi ia mungkin memakan sedikit masa untuk mendapatkan temu janji.
Terdapat hanya beberapa tempat yang menawarkan perkhidmatan ini. Anda boleh memilih cara ini jika anda tidak mengalami sebarang gejala masalah penglihatan. Tetapi, jika anda sudah mengalami gejala, anda patut berjumpa dengan doktor mata segera dan bukannya menjalani ujian saringan ini.
Tempat yang menawarkan perkhidmatan tersebut termasuklah:
Anda boleh mendapatkan perkhidmatan fotografi retina yang lain melalui pertanyaan lanjut. Sekiranya anda tahu tempat lain yang menyediakan perkhidmatan ini, sila hubungi kami untuk penyenaraian.
Kebanyakan orang yang menghidap kencing manis (Tahap 2, Diabetes Mellitus yang tidak bergantung kepada insulin [NIDDM]) patut menjalani pemeriksaan mata pertama sebaik sahaja mereka dikenal pasti menghidapi penyakit tersebut dan kemudian setahun sekali.
Kanak-kanak dengan kencing manis Tahap I (Diabetes Mellitus yang bergantung kepada Insulin [IDDM]) patut menjalani pemeriksaan mata pertama dalam masa 2 hingga 5 tahun setalah dikenal pasti dan kemudian setahun sekali.
Kehamilan boleh memburukkan lagi masalah retinopati diabetes. Wanita yang menghidap kencing manis digalakkan untuk memeriksa mata mereka dan mendapat rawatan jika mengalami retinopati diabetes sebelum atau secepat mungkin selepas dipastikan hamil. Pemeriksaan harus dijalankan setiap tiga bulan sepanjang kehamilan. Cadangan ini juga melibatkan wanita yang menghidap kencing manis gestasi pada tiga bulan pertama kehamilan. Secara umumnya, wanita yang mendapat kencing manis gestasi selepas tiga bulan pertama kehamilan tidak memerlukan pemeriksaan mata.
Anda perlu mendapatkan pemeriksaan mata lebih kerap sebaik sahaja retinopati diabetes dikesan.
* Diadaptasi dari Clinical Practice Guidelines for the Screening of Diabetic Retinopathy, Malaysian Ministry of Health, 2011.